Hari Khamis lalu, Nayli di masuk kan ke dalam Wad di Hospital Ampang atas faktor kesihatan. Enam hari kami bermalam di hospital. Secara jujurnya, memang banyak yang dapat selama 6 hari dalam hospital. Salah satunya emmy berkesempatan berkenalan dengan seorang ibu yang mempunyai anak yang menghidap 'Hemofilia'
Bila tengok anak dia, kita nampak dia macam budak-budak yang normal, maksudnya yang tidak mempunyai masalah kesihatan. Sebab dia nampak aktif dan bermain macam kanak-kanak biasa. Ibu ni memang seorang yang sangat tabah dan cekal. Sanggup berhenti kerja atas nasihat doktor untuk menjaga anaknya. Sebab pesakit hemofilia ni sangat memerlukan perhatian yang rapi.
Dari pengalaman yang ibu ceritakan, emmy dapat rasakan betapa tabahnya hati seorang ibu. Betapa besarnya pengorbanan ibu ini. Semua demi anak. Allah, sedih bila dengar pengalaman ibu ni. Semoga Allah sahaja dapat membantu dan moga ibu ini diberi kekuatan dan kesihatan yang baik untuk menjaga anaknya. Amin.
Hemofilia
Apa itu Hemofilia?
Hemofilia merupakan sejenis penyakit warisan yang sedia ada sejak
seseorang itu dilahirkan dan ia berpunca daripada kekurangan faktor
pembekuan darah.
Seorang bayi lelaki akan menghidap penyakit ini dalam setiap 10,000 kelahiran.
Jenis yang paling kerap dan mewakili 80% daripada kes ini ialah
Hemofilia A. Hemofilia A adalah disebabkan kekurangan faktor pembekuan
iaitu faktor VIII. Manakala 20% pula meliputi Hemofilia B disebabkan
kekurangan faktor IX.
Bagaimanakah Hemofilia diwarisi?
Hemofilia adalah penyakit yang ada sejak dilahirkan. Ia tidak boleh berjangkit daripada seseorang.
Hemofilia biasanya diwarisi, maksudnya melalui gen (baka) ibu bapa.
Penyakit ini disebabkan warisan genetik yang dibawa oleh kromosom X.
Anak lelaki yang mewarisi kromosom X yang abnormal itu akan menghidap
penyakit hemofilia manakala anak perempuan akan menjadi pembawa.
Kadangkala penyakit hemofilia juga boleh terjadi disebabkan oleh mutasi
gen. Dalam kes seperti ini, kedua-dua ibu bapa tidak membawa gen
hemofilia tetapi sebaliknya terdapat perubahan (mutasi) yang berlaku
pada gen pesakit. Lebih kurang 30% kes-kes adalah disebabkan oleh mutasi
gen.
Tahap-hahap Hemofilia
Tahap keterukan penyakit ini bergantung kepada peratus faktor pembekuan yang berfungsi di dalam darah pesakit.
NORMAL
50% - 150% tahap aktiviti normal Faktor VIII (8) atau IX (9) dalam darah.
RINGAN (MILD)
|
5% - 30% tahap aktiviti normal faktor pembekuan darah. |
-
Pendarahan berlebihan selepas pembedahan atau kemalangan.
-
Jarang ataupun tidak pernah berdarah dengan sendirinya.
|
SEDERHANA (MODERATE)
|
1% - 5% daripada aktiviti normal faktor pembekuan darah. |
-
Pendarahan yang berlaku sekali sekala secara spontan.
-
Berlaku pendarahan berlebihan selepas luka, kemalangan atau pembedahan. Contoh: berkhatan/cabut gigi.
|
SERIUS (SEVERE)
|
Kurang 1.0% daripada aktiviti normal faktor pembekuan darah. |
-
Pendarahan secara spontan kerap berlaku.
-
Pendarahan berpanjangan selepas luka atau kemalangan.
-
Tanda-tanda pendarahan menjadi ketara apabila kanak- kanak mula merangkak atau berjalan.
|
Apakah tanda-tanda penyakit Hemofilia?
-
Lebam yang besar.
-
Pendarahan di dalam sendi dan otot dengan spontan terutamanya sendi lutut, siku dan buku lali.
-
Pendarahan yang berlaku dengan spontan tanpa sebab-sebab tertentu.
-
Pendarahan berpanjangan selepas terluka, cabut gigi atau selepas pembedahan.
-
Pendarahan berpanjangan selepas kemalangan terutamanya apabila berlaku pendarahan di dalam otak (intracranial bleed).
-
Pendarahan di dalam otot atau sendi akan menyebabkan:
-
rasa sakit atau kurang selesa
-
bengkak
-
sakit dan tegang
-
pergerakan terbatas
Bahagian-bahagian yang kerap berlaku episod pendarahan
Pesakit hemofilia boleh mendapat pendarahan dalaman atau di luar badan.
Jika pendarahan berlaku berulang kali pada sendi yang sama, ini akan menyebabkan sendi itu rosak dan berasa sakit.
Pendarahan berulang kali akan menimbulkan masalah-masalah kesihatan
lain seperti radang sendi (arthritis). In akan menyebabkan pergerakan
agak terbatas dan sukar melakukan aktiviti yang mudah.
Bagaimana mengelakkan pendarahan?
-
Pendidikan berterusan kepada ibu bapa/penjaga pesakit mengenai hemofilia dan cara menjaga kanak-kanak semasa kecil.
-
Elakkan daripada permainan dan aktiviti yang lasak dan boleh
menyebabkan kecederaan (high contact sports) seperti bola sepak, rugbi,
tinju dan sebagainya.
-
Dapatkan rawatan faktor sebelum mencabut gigi/pembedahan.
-
Elakkan daripada suntikan dalam otot (intramuscular) semasa vaksinasi.
-
Dapatkan rawatan secepat mungkin sekiranya berlaku sebarang pendarahan.
-
Menjaga anak-anak yang masih kecil dengan rapi agar tidak jatuh atau
mengalami kecederaan semasa bermain di dalam atau di luar rumah.
-
Memaklumkan kepada pihak sekolah/institusi tentang masalah hemofilia yang dihidapi anak agar diberi pengawasan yang rapi.
Bagaimana penyakit Hemofilia dirawat?
-
Rawat pendarahan dengan segera
Rawatan yang cepat dan mencukupi boleh mengelakkan komplikasi seperti
kecacatan kekal pada anggota badan dengan menggunakan konsep R.I.C.E.
R |
- Rest (Rehat) |
: Rehatkan sendi atau anggota yang tercedera. |
I |
- Ice (Ais) |
: Letakkan ais pada tempat/bahagian anggota yang tercedera.
Alaskan ais dengan kain sebelum meletakkan pada tempat yang tercedera
selama 10 – 20 minit. |
C |
- Compress (Tekan) |
: Tekan tempat pendarahan (apply pressure) atau balut tempat luka/sendi yang terlibat. Jangan ikat sendi terlalu ketat. |
E |
- Elevation (Elevasi) |
: Naikkan sendi atau anggota yang terlibat lebih tinggi daripada paras dada. |
Buat masa ini masih belum ada rawatan yang boleh menyembuhkan penyakit
hemofilia tetapi dengan wujudnya rawatan yang terkini penghidap
hemofilia juga dapat hidup secara normal seperti orang lain. Tanpa
rawatan pesakit hemofilia jenis serius (severe) berkemungkinan mendapat
kecacatan fizikal dan mengalami kesukaran untuk berjalan atau melakukan
aktiviti yang ringan.
Bilakah rawatan diperlukan?
Rawatan diberi untuk:
-
Pendarahan di dalam sendi.
-
Pendarahan di dalam otot terutamanya otot tangan dan kaki.
-
Pendarahan di dalam leher, mulut, lidah, muka atau mata.
-
Kecederaan di kepala dan sakit kepala yang keterlaluan.
-
Pendarahan yang banyak atau berpanjangan di mana-mana bahagian.
-
Sakit yang kuat atau bengkak yang melibatkan mana-mana anggota.
-
Semua luka yang perlu dijahit.
-
Berikutan kemalangan yang berkemungkinan akan menyebabkan berlakunya pendarahan.
Rawatan diberi sebelum:
-
Pembedahan atau sebelum prosedur pergigian.
Ubatan yang diberi
Pesakit yang didiagnos menghidap penyakit ini, perlu menjalani rawatan
sepanjang hayat mereka. Kaedah yang paling sesuai dan berkesan dalam
menangani masalah hemofilia ini ialah dengan rawatan penggantian faktor
pembeku darah. Kini rawatan untuk hemofilia lebih efektif dan
berkualiti. Faktor konsentrat akan disuntik ke dalam saluran darah
menggunakan jarum. Pesakit akan menggunakan Faktor VIII untuk Hemofilia A
dan Faktor IX untuk Hemofilia B. Pendarahan akan berhenti apabila tahap
faktor mencapai paras yang mencukupi.
Sehubungan itu pesakit diwajibkan datang ke hospital untuk mendapatkan
rawatan kecuali mereka yang telah mendapat latihan untuk mengendalikan
suntikan itu sendiri.
Komplikasi Pesakit
-
Pendarahan spontan pada sendi-sendi.
-
Keradangan pada lapisan tisu terutamanya pada sendi di mana jika tidak dirawat boleh menyebabkan kecacatan kekal.
-
Kelemahan pada otot (muscle atrophy) akibat penggunaan otot yang tidak optima kerana kesakitan.
-
Pendarahan dalam kepala di mana jika tidak dirawat segera dan
secukupnya boleh menyebabkan kecacatan mental dan mungkin juga kecacatan
fizikal.
-
Pendarahan dalam otot-otot penting di bahagian paha dan pangkal
pinggul. Risiko untuk pendarahan berulangan di bahagian-bahagian ini
adalah tinggi.
Situasi Di Mana Rawatan Tidak Diperlukan
-
Lebam-lebam kecil
Adalah biasa bagi kanak-kanak hemofilia tetapi ini tidak membahayakan.
Walau bagaimanapun lebam di kepala perlu dianggap serius dan dirujuk
kepada doktor.
-
Luka kecil atau tercalar
Pendarahan adalah sama seperti orang biasa. Biasanya ini tidak membahayakan.
-
Hidung Berdarah
Biasanya berhenti selepas memicit hidung selama 5 minit. Jika
pendarahan terlalu banyak dan tidak berhenti, rawatan diperlukan.
Sukan dan Hemofilia
Pesakit hemofilia digalakkan bersukan untuk menguatkan otot. Jenis
sukan yang dipilih bergantung kepada fizikal dan kebolehan seseorang.
Aktiviti-aktiviti sukan yang berisiko rendah seperti berenang,
berbasikal, berjalan kaki, bermain pingpong, bowling, snooker, golf dan
tennis adalah digalakkan.
Sukan yang berisiko tinggi seperti bola sepak, ragbi, tinju, meluncur, bola tampar dan bola keranjang tidak digalakkan.
NOTA PENTING UNTUK PENGHIDAP HEMOFILIA DAN AHLI KELUARGA
-
Rawat Pendarahan Dengan Segera
Apabila pendarahan dirawat dengan segera, kesakitan akan berkurangan
dan kecederaan kepada sendi, otot dan organ juga kurang berlaku.
-
Kekal sihat (Stay fit)
Otot yang kuat membantu melindungi masalah sendi dan pendarahan spontan.
-
Ubat-ubat yang tidak boleh diambil
Aspirin (ASA – Acetylsalicylic Acid) dan ubat yang mengandungi ASA
yang akan menyebabkan berlakunya lebih banyak pendarahan. Sesetengah
ubat boleh mengganggu pembekuan darah. Dapatkan nasihat daripada doktor
anda tentang ubat yang selamat digunakan. Berikut adalah ubat-ubatan
yang biasanya selamat digunakan selepas mendapat nasihat daripada doktor
iaitu: Paracetamol (Panadol), Tramadol (Tramal), Celecoxib (Celebrex),
Dihydrocodeine.
-
Selalu berjumpa doktor atau jururawat di Pusat Rawatan Hemofilia
Kakitangan di Pusat Rawatan Hemofilia akan membantu dan memberi nasihat tentang perawatan hemofilia.
-
Elakkan daripada suntikan dalam otot (Intramuscular Injection)
Suntikan ke dalam otot boleh menyebabkan pendarahan. Namun begitu
suntikan vaksinasi bagi pesakit hemofilia adalah perlu. Oleh itu,
suntikan secara subcutaneous adalah selamat untuk pesakit hemofilia.
-
Penjagaan gigi
Ibu bapa dan pesakit hemofilia perlu menitikberatkan penjagaan
kesihatan mulut. Panduan dan nasihat dari doktor gigi perlu diikuti bagi
mengelakkan kerosakan gigi. Ini kerana sebarang suntikan untuk prosedur
atau pembedahan gigi akan menyebabkan pendarahan.
-
Sentiasa memakai "Medic Alert" dan membawa Kad Hemofilia.
-
Mempelajari cara-cara mengatasi masalah-masalah pendarahan biasa (basic first aid).
-
Anda dan keluarga anda perlu pelajari dan faham tentang penyakit anda.
Credit info :
KKM