PSORIASIS
Penyakit psoriasis ini telah pun dibincangkan serba sedikit menerusi
kolum yang sama tidak berapa lama dulu. Sebelum menjawab soalan pertama
dan kedua, eloklah diterangkan faktor-faktor yang mungkin menyebabkan
penyakit ini.
Sistem imun
Dalam sistem imun seseorang yang normal, sel-sel darah putih dalam
badan menghasilkan antibodi yang digunakan untuk melawan kuman-kuman
seperti bakteria dan virus.
Selain itu, sel-sel darah putih juga menghasilkan bahan-bahan kimia
sitokines yang dapat membantu badan kita melawan kuman-kuman tadi serta
terlibat dalam proses pemulihan tisu.
Namun demikian, dalam badan seseorang yang menghidap psoriasis,
sel-sel darah putihnya menghasilkan antibodi-antibodi serta sitokines
yang merosakkan kulit dan sendinya sendiri.
Penyakit sebegini digelar penyakit autoimun dan terdapat banyak lagi
penyakit yang dapat diklasifikasikan sebagai penyakit autoimun seperti
artritis reumatoid, eritematosus lupus sistemik atau lebih popular
dengan singkatannya, SLE.
Antara sitokines yang kerap dijumpai pada kulit serta sendi seseorang
yang ada psoriasis termasuklah Interleukin 2, interferon gamma,
TNF-alpha dan sebagainya. Kajian telah menunjukkan bahawa sitokines
berkenaan terlibat dalam kerosakan tisu.
Ini bermakna, jika ada ubat yang boleh menunjukkan kesan yang
berlawanan dengan sitokines tadi, kemungkinan besar kerosakan tisu bukan
sahaja dapat diberhentikan, bahkan juga dihindari.
Antara rawatan yang mana kajian telah menunjukkan keberkesanannya
adalah agen-agen anti-TNF alpha iaitu agen yang berlawan dengan kesan
TNF-alpha seperti etanercept dan infliximab.
Etanercept telah pun diluluskan di sesetengah negara untuk digunakan
dalam merawat psoriasis manakala Infliximab pula digunakan dalam kes-kes
psoriasis yang melibatkan sendi dan sedang dalam kajian untuk rawatan
psoriasis kulit.
Kajian turut dijalankan untuk sitokines-sitokines lain.
Faktor genetik
Para penyelidik mendapati, terdapat sekurang-kurangnya empat gen yang
terlibat dalam kejadian psoriasis. Gen-gen ini mengawal atur sistem
antigen sel darah putih manusia (Human leucocyte antigen-HLA).
Sistem HLA ini digunakan agar bendasing dalam darah kita dapat
dimusnahkan melalui sistem imun tetapi dalam pesakit psoriasis, sistem
HLA ini didapati tidak berfungsi secara betul.
Pesakit yang mempunyai psoriasis didapati mempunyai HLA-B27, HLA-Cw6,
HLA-DR7 dan sebagainya. Namun demikian, hanya 10 peratus individu yang
mempunyai gen-gen ini, yang akan mendapat psoriasis.
Terdapat faktor-faktor yang menyebabkan penyakit ini bertambah teruk. Antaranya:
* Cuaca; cuaca yang sejuk atau kering mudah menyebabkan psoriasis
tercetus manakala cuaca yang panas dan lembap menyebabkan simptom
pesakit menjadi lebih baik.
* Tekanan/stres, kemarahan yang dipendam, depresi/kemurungan serta kebimbangan/gemuruh juga boleh menyebabkan psoriasis memarak.
* Jangkitan kuman; Psoriasis boleh menjadi meluap- luap disebabkan
oleh jangkitan kuman bakteria atau virus. Antara kuman-kuman yang boleh
menyebabkan flare-up ini adalah seperti kuman bakteria Streptokokus dan
human-immunodeficincy virus (HIV).
* Kecederaan kepada kulit; Kecederaan yang sedikit pun boleh
mencetuskan flare-up psoriasis. Pemerhatian ini mungkin dapat
menjelaskan kenapa psoriasis selalu melibatkan bahagian siku dan lutut.
* Ubat-ubat berikut mungkin boleh menyebabkan psoriasis menjadi lebih
teruk atau menyebabkan flare-up; Chloroquine perencat ACE seperti
captopril penghalang beta seperti atenolol Progesterone Lithium
Indomethacin.
No comments:
Post a Comment