Sunday, 17 August 2014

Bekalan Susu Badan Berkurangan. Apakah Puncanya?

Tidak dinafikan, apabila di tanya apa sebabnya mereka tidak menyusukan bayi mereka atau menyusukan dalam masa yang pendek, mereka memberi sebab utama sebagai " Bekalan susu saya tidak mencukupi". Tahukah anda ianya tidak seperti yang anda fikirkan.. Kekurangan mungkin berlaku jika anda tidak lagi mengalami refleks susu terkeluar dengan tiba-tiba atau tidak ada lagi perasaan buah dada penuh atau susu tidak lagi bocor dari puting. Jadi apakah sebenarnya punca kepada permasalahan ini.

JOM BACA SELANJUTNYA ------->>>>


Sebenarnya, semua tanda-tanda ini adalah tanda-tanda biasa yang menunjukkan bahawa badan anda sudahpun menyesuaikan diri dengan keperluan penyusuan bayi anda. Juga, bayi yang sedang membesar akan memerlukan lebih banyak susu, dan, oleh itu, memang merupakan perkara biasa jika anda meragui sama ada bekalan susu anda memadai. Sesetengah bayi pula lebih cepat dan efisien dalam penyusuan dan memerlukan sedikit masa sahaja untuk habis menyusu, dan ini juga boleh menyebabkan anda bimbang yang bekalan susu anda tidak mencukupi. 


Mungkin ada masa-masanya sesetengah ibu tidak menghasilkan susu yang ke tahap yang maksimum, tetapi, sekiranya mereka betul-betul memahami proses penyusuan, itu akan membantu mereka mengatasi masalah ini. Hanya kira-kira dua peratus ibu sahaja, atas sebab-sebab fizikal, yang tidak boleh menghasilkan susu secukupnya. 


Apakah Puncanya?


Bagi kebanyakan wanita, masalah sebenarnya ialah penghantaran, bukan penghasilan. Mereka menghasilkan susu yang banyak tetapi disebabkan bayi mereka tidak dapat melekap dengan baik dan tidak menyusu dengan efektif, bayi tidak memperolehi susu yang secukupnya. 


Buah dada dicipta untuk menghasilkan susu bagi memenuhi keperluan bayi anda. Lebih banyak bayi anda menyusu, lebih banyak susu yang anda akan hasilkan. Sekiranya bekalan susu anda menurun pada satu-satu masa, beberapa perkara akan dapat dikesan, iaitu, anda akan:


  • mengalami puting yang pedih dan mengalami kesakitan semasa menyusukan ; atau,
  • mempunyai bayi yang mengantuk dan perlu dirangsang untuk menyusu;
  • bayi anda kerap menggunakan puting, dan ini akan mengurangkan jumlah masa dia menyusu; atau
  • terlalu terikat kepada rutin menyusu empat jam sekali dan ini akan mengakibatkan pengurangan susu anda. Anda harus sedar yang anda hanya perlu menyusukan bayi anda apabila dia minta untuk menyusu, dan elok tidak mengikut rutin.


Bagi beberapa wanita, masalah biologi atau fizikal seperti ketidakseimbangan hormon atau terdapat kecederaan buah dada atau pembedahan boleh menyebabkan bekalan susu mereka berkurangan. Walau bagaimanapun, oleh sebab penghasilan susu merupakan satu perlakuan yang penting, kebanyakan ibu yang mempunyai keadaan seperti ini mendapati mereka masih boleh menghasilkan susu yang cukup untuk menyusukan bayi mereka. 


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...