Persediaan Puasa Ibu Menyusu
Jadual pemakanan teratur dan berkesan yang mementingkan pengambilan
makanan berkhasiat perlu diamalkan oleh ibu sepanjang masa terutama
ketika berpuasa.
Amalan bersahur menjadi kemestian bagi ibu-ibu selepas bersalin. Ini
kerana sekiranya ibu berpuasa tanpa pengambilan sahur yang betul, ia
boleh memungkinkan ibu mengalami gejala hipoglisemia (kekurangan gula
badan). Hipoglisemia ini dibahagikan kepada dua.
Rungutan yang berkaitan dengan pengaktifan sistem autonomik serta
rembesan epinefrin seperti berpeluh, terketar-ketar, berdebar-debar,
denyutan nadi meningkat, rasa cemas, lemah loya dan rasa loya-loya serta
muntah-muntah.
Kategori rungutan kedua bersabit dengan berkurangan penggunaan glukos
oleh otak, lama-kelamaan penurunan gula menjadi lebih teruk dan rendah.
Biasanya mereka ini akan mengalami sakit kepala, penglihatan kabur,
letih lesu, tidak bermaya, mudah terganggu serta sensitif, kurang fokus,
kekeliruan, mengantuk, kehilangan keupayaan intelek dan perubahan
personaliti.
Justeru itu ibu yang baharu melahirkan anak perlu berdisiplin
mengamalkan panduan berikut bagi mengelakan kemudaratan kepada diri
sendiri dan anak.
* Melewatkan sahur
* Berbuka di awal waktu dengan mengambil makanan sihat seimbang dan minum cukup air.
* Memerah susu di awal hari
* Berdoa
* Bertawakal
Ibu tetap boleh menyusukan seperti biasa selagi tidak mengalami
dehidrasi. Oleh itu pengambilan cecair yang mencukupi pada sebelah malam
dan waktu sahur perlu dilakukan bagi menggantikan air yang sudah hilang
semasa berpuasa. Amat penting untuk menjaga dan mengawal dehidrasi
daripada berlaku. Tanda-tanda dehidrasi yang teruk adalah seperti
berikut :
* Berasa hendak pitam terutama selepas mengepam dan menyusukan bayi.
* Berasa sakit kepala dan seperti hendak demam.
* Air kencing menjadi pekat dan berbau kuat.
* Terasa loya dan ingin muntah.
* Rasa menggigil.
* Berasa lemah dan sakit otot.
* Mudah marah dan emosi yang tidak stabil.
Untuk mengelakkan dehidrasi yang teruk, ambillah makanan/minuman yang
mengandungi jumlah cecair yang banyak. Sekurang-kurangnya dua liter air
sehari diperlukan bagi menjaga keseimbangan bendalir badan.
13 Tip Kembali Berpuasa Selepas Bersalin :
1. Banyakkan pengambilan cecair. Dua liter sehari sangat perlu.Mulakan
minum bermula waktu berbuka sehingga sahur dan menjelang imsak.
2. Makan buah-buahan, bubur, sup dan makanan berkuah dan mengandungi
air. Kurangkan mengambil terlalu banyak makanan bergula dan bergaram
kerana ia boleh menarik keluar air daripada sel.
3. Ibu yang menyusukan amat digalakkan makan madu setiap hari kerana
selain menambah stamina, ia berupaya meningkatkan kadar serapan kalsium
dalam badan. Malah ia merupakan sumber tenaga yang hebat dan semulajadi.
Juga berfungsi sebagai nutrisi lengkap untuk meningkatkan dan
melancarkan air susu ibu.
4. Berehat secukupnya. Elakkan melakukan aktiviti berat dan lasak.
5. Berbuka puasa dan bersahur dengan makanan seimbang yang kaya dengan protein, glukos dan cecair.
6. Banyakkan memakan kurma kerana ia mampu memberi tenaga segera kepada
badan dan makanan penambah susu seperti sayuran hijau, buah-buahan, oat
dan sebagainya.
7. Elakkan minuman berkafein dan minuman gas.
8. Lebihkan sesi menyusu secara terus dan mengepam pada waktu malam. Pam dan menyusu terus secara serentak.
9. Pentingkan diet yang mengandungi protein berkualiti daripada ikan,
ayam itik, daging merah dan legum. Pastikan pengambilan kalsium yang
mencukupi, daripada susu dan produk susu.
10. Tambah pengambilan makanan berserat ke dalam diet anda dengan
mengambil lebih banyak buah-buahan dan sayuran segar bagi mengelakkan
sembelit.
11. Jika anda rasa anda menghadapi kesulitan untuk menyediakan makanan
yang berkhasiat untuk diri sendiri, pertimbangkanlah untuk mengambil
suplemen vitamin dan mineral dalam diet anda.
12. Jangan berhenti menyusukan bayi atau mengepam susu kerana semakin
banyak susu keluar, semakin kerap payu dara dikosongkan maka semakin
banyak susu ibu yang akan dihasilkan.
13. Kurangnya pengeluaran susu bukan disebabkan ibu berpuasa tetapi
kurang rangsangan sama ada menyusu terus bayi atau memerah susu.